17 NOVEMBER 2009 - Ketika perlahan mengatur langkah meninggalkan KLIA, tiada lain yang saya doakan moga insan-insan yang saya tinggalkan sentiasa dilindungi Allah swt. Semoga paklong, maklong, wan, umi, abah, angah sekeluarga, kak long sekeluarga, adik-adik, kak Asna sekeluarga dan kak Aniqa akan baik-baik sahaja selama ketiadaan saya di bumi Malaysia untuk beberapa ketika. Saya sayangkan kalian kerana kalian sebahagian daripada hidup saya. Juga tidak akan pernah saya lupakan bonda dan adinda Fatimah yang kini menjadi tetamu Allah di bumi Mekah. Rindunya saya pada kalian dan tanah Haramain hanya Allah yang tahu. Moga rahmat Allah akan memudahkan apa jua urusan kalian. Insyaallah, selagi masih punya nafas, saya tidak akan berhenti berdoa untuk kalian.Yang tidak mungkin saya khalikan, dia yang kini telah bergelar suami. Terima kasih kerana sudi memahami dan menyayangi. Saya bahagia melalui hari-hari seorang isteri ketika abang di sisi. Doa saya moga ikatan yang baharu terbina ini akan lebih mekar dan ranum selama berjauhan. Tuhan, Engkau Maha Mengetahui akan segala ketetapan takdir Mu. Kurniakan kami kesabaran dan kekuatan untuk melalui takdir nan satu ini.
Saat pesawat membelah gelap malam, ingatan terhantar pada seraut wajah. Entah mengapa, saya telah berusaha untuk tidak terlalu mengingat. Namun, bayangannya tetap hadir. Kenangan bersama satu-persatu mengekori. Ketika hampir luruh manik jernih dari empangan, segera saya palingkan wajah. Khuatir kalau sahabat di sebelah menyedari perubahan riak wajah. Secara tidak sedar hati berbisik, 'Tuhan, pinjamkan saya semangat Hajar ketika berjauhan dengan insan tercinta'. Benar-benar saya perlukan kecekalan Ummu Ismail saat ini. Ketika Nabi Ibrahim memberitahu wahyu daripada Allah kepada Siti Hajar, beliau hanya membalas 'Apakah ini perintah dari Tuhan?' Setelah maklum ia merupakan perintah daripada Tuhan Siti Hajar mengatakan; 'Laksanakanlah perintah Tuhan Mu'. Sebagai seorang hamba yang taat Siti Hajar akur tanpa membantah biarpun beliau tahu ketika itu tempat yang bakal didiami hanyalah lembah tandus yang tidak mempunyai sebarang tanaman. "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanaman-tanaman dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati" (14:37.
Tawakal Nabi Ibrahim dan Siti Hajar yang begitu tinggi akhirnya membuahkan sebuah kota suci yang kini menjadi kiblat umat Islam seluruh isi dunia. "Dan dari manapun kamu keluar, maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram, sesungguhnya itu benar-benar ketentuan dari Tuhan Mu" (2:149) Lantaran kecekalan Siti Hajar yang berlari-lari anak antara Sofa dan Marwah demi memastikan bayi kecilnya tidak kelaparan, terpancar air zam-zam dari hentakan si kecil Nabi Ismail as. Hikmah dari berjauhan dua insan mulia inilah, air zam-zam terus wujud. Ia tidak pernah habis diminum. Malah, ia adalah sebaik-baik air di dunia. Ia merupakan kurniaan agung yang tiada taranya. Ia penawar kepada segala penawar.
Kerana Hajar lambang muslimah sejati yang mengimani Tuhan Nya, kerana Hajar srikandi cekal yang menyerah tawakal dalam ketidakputusan usaha,kerana Hajar ibu kepada Ismail yang mahu puternya mempelajari tauladan dari kesusahan,
kerana Hajar saya mahu jiwa yang kerdil ini berjiwa besar. Biarpun saya amat pasti, saya selamanya tidak setanding Siti Hajar, saya mahu dipinjamkan semangat Hajar ketika berjauhan dengan insan tercinta. Moga perpisahan seketika antara saya dan suami akan turut disusul hikmah sedikit demi sedikit. Kami telah redha akan ketentuan Mu, hanya kami pohonkan bantulah kami untuk thabat meneruskan kehidupan. Sungguh kami tiada daya melainkan dengan bantuan dan hidayah Mu. Jadikan kami suami isteri yang saling mengingatkan di kala dekat, dan menjaga kehormatan di kala berjauhan. Akhirnya saya terlena sedang hati terus menitip doa, 'Tuhan, pinjamkan saya semangat Hajar ketika berjauhan dengan suami tercinta.'
TIADA kata yang dapat menggambarkan perasaan apabila lafaz ijab dan kabul sempurna dilafazkan oleh dia yang kini bergelar suami. Dalam hebat menahan variasi perasaan, manik jernih turut berlinang mensyukuri kurniaan Ilahi. Dalam masa yang begitu singkat, alhamdulillah Allah S.W.T mengizinkan segalanya berjalan lancar. Benarlah, perancangan Allah itu terlalu rapi dan teliti. Tiada siapa yang mampu menandingi kekuasan Nya. Dengan lafaz hamdalah kami syukuri kurniaan ini.
Pernah saya nyatakan di dalam entry terdahulu, urusan jodoh pertemuan ibarat sebuah jambatan. Jika jauh perjalanan ke seberang, maka panjanglah jambatan yang bakal dilalui. Begitulah sebaliknya. Saya keharuan. Pertemuan saya dengan suami direncana Allah selepas istikharah dan restu kedua belah pihak. Sehingga hari ini, setelah usia pernikahan kami berusia sebulan saya masih lagi mengenangkan pertemuan kami. Sesekali mengenang, akan mercup rasa kagum dan insaf. Dan apabila terus memikir dan mengenang, akan terbit titis-titis jernih daripada tubir mata.
Betapa tidak? Biarpun perkenalan kami singkat sebelum mendirikan rumah tangga, kami juga diuji dengan pelbagai ujian. Hingga ada ketikanya saya menjadi seorang yang pasif pada kalimah 'perkahwinan'. Namun syukurlah, berkat kesabaran yang tidak pernah putus dan kesungguhan keluarga yang senantiasa memberi semangat, segalanya telah selamat kami lalui. Sungguh kami kagum dan insaf dengan perancangan Allah yang menemukan. Kami tidak pernah bersua muka langsung sebelum kedua keluarga bertemu. Pertemuan pertama kami di dalam majlis merisik dan bertunang. Usia pertunangan yang tidak sampai setahun, akhirnya ditamatkan dengan sebuah majlis ijab kabul.
Dalam usia perkahwinan yang masih terlalu 'bayi', tiada lain yang kami harapkan melainkan ia akan kekal sebagai bahtera baitul muslim di masa akan datang. Masih banyak yang harus saya pelajari.Hanya doa yang sering kami panjatkan moga bahtera yang baharu didirikan ini tidak karam dipukul ribut mahupun ombak besar Tsunami. Amin ya Allah. Saya amat berterima kasih kepada semua yang menghadiri majlis kami. Juga mereka yang mengirim hadiah, ucapan serta mereka yang terlibat secara langsung ataupun tidak. Untuk tidak menghampakan semua pembaca yang mengenali diri, saya sertakan beberapa lensa yang di'snap' sewaktu majlis kami. Sebarang kekurangan saya mohon berbanyak kemaafan kerana setiap lensa yang diabadikan di sini perlu mendapat keizinan daripada dia yang bernama suami.
Angah (Fadhil Noor Bin Abd Ghaffar) wali yang menikahkan kami
Antara tetamu yang menyaksikan majlis akad nikah kami
Ustaz Asyraff Hafdzan kini adalah suami saya
Selamat menyandang gelar suami isteri
Bacaan doa sebaik sempurna ijab dan kabul
Rombongan daripada pihak keluarga pengantin lelaki
Busana pengantin berwarna biru turqoise menjadi warna tema sebelah perempuan
Antara hadiah pemberian kedua belah pihak
Mengabadi kenangan bersama keluarga. Terima kasih kepada semua yang telah berkerja keras merealisasikan majlis kami. Moga Allah membalas buidi baik kalian
Hijau pucuk pisang warna tema sebelah pengantin lelaki
Buat sahabat-sahabat yang mengenali diri, dengan rendah hati saya mengundang sahabat-sahabat ke majlis walimah saya dan bakal suami pada 03 & 04 Oktober 2009. Saya turut mengundang sahabat-sahabat di Mesir, Jordan, Morocco dan Syria yang mengenali saya dan bakal suami. Buat sahabat-sahabat di Jordan yang mengenali kami, kami tiada alamat kalian untuk dihubungi. Jika ada yang membaca tulisan ini, bolehla sebar-sebarkan kepada yang lain-lain.
Jika ada yang mahukan kad secara pos, boleh hubungi saya 017-6109479. Untuk maklumat lanjut sila klik di gambar yang tertera.
HARI RAYA BENARKAH KEMENANGAN ORANG YANG BERPUASA?
Thursday, September 10, 2009
Hari ini saya ke Jalan Tuanku Abd Rahman menemani adik-adik mencari baju raya. Seperti kebiasaannya, semenjak arwah ayah tiada memang setiap kali menjelangnya hari raya pasti Jalan TAR menjadi tumpuan saya adik-beradik. Kesibukan TAR pasti sedia maklum, saban tahun menjadi tumpuan umat Islam dalam mencari keperluan hari raya.
Sementara menanti seseorang di bawah pohon rendang di hadapan SOGO, saya mengamati suasana. Entah bagaimana, satu persoalan berwara-wiri di kepala. 'Hari Raya, benarkah kemenangan untuk mereka yang berpuasa?' Lalu saya himpun segala ingatan tentang puasa yang saya pelajari. Ternyata benar, Hari Raya adalah kemenangan buat orang yang berpuasa. Namun, cabang fikir masih mencanak ranting baharu daripada persoalan tadi. Layakkah kita yang berpuasa ini meraikan hari raya?
Jika puasa itu dilihat daripada sudut bahasa, ia membawa maksud menahan diri. Manakala dari segi istilahnya, adalah menahan diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula terbitnya fajar hingga terbenam matahari. Benar, jika dinilai dari zahirnya, kita akan tergolong dalam golongan yang dimaksudkan. Namun, apabila menghalusi pengertian puasa dalam sudut yang lain kita jauh terkeluar daripada golongan yang dimaksudkan. Puasa hakikatnya adalah tarbiah daripada Allah swt untuk menatijahkan hambanya menjadi seorang yang sabar, menjadikan orang berpuasa merasai bagaimana kesusahan mereka yang tidak makan dan tidak minum. Selain itu, puasa juga berperanan dalam mengekang sebarang hawa nafsu. Ia tidak sekadar menahan lapar dan dahaga. Ia satu rahmat melahirkan seorang hamba yang senantiasa bersyukur atas nikmat kurniaan Nya, berjimat cermat dalam berbelanja, dan ia juga merupakan suatu rahmat untuk melahir jiwa-jiwa rabbani.
Saya menghisab diri dengan suasana yang sedang berlangsung di hadapan mata. Sesekali telingan menangkap patah-patah bicara mereka yang lalu-lalang.
'Aku nak tudung macam Siti tu.'
'Sekarang fesyen baju raya semua yang jarang-jarang. Baru ada kelas.'
Bermacam-macam lagi yang singgah ke telinga saya. Saya cuba memahami maksud jawapan persoalan tadi. Benarkah hari raya untuk orang yang berpuasa? Seperti saya, adik-adik dan mereka yang seperti semut membeli persiapan hari raya? Entah bagaimana, hati saya menjadi sayu. Tuhan, Di tahap mana puasa saya? Bukankah puasa itu punya tiga kategori;
1) Puasa sempurna menahan rohani dan rasa,
2) Puasa sederhana menahan indera dan
3) Puasa biasa menahan lapar dan dahaga.
Puasa melahirkan manusia yang tahu menghargai nikmat kesusahan orang lain. Justeru, berapa banyakkah bantuan yang telah kita hulurkan terhadap mereka yang susah atau tidak berkemampuan? Sirnakah sikap bangga diri yang ada pada diri andai kita sering merasa barangan yang kita miliki lebih 'standard' daripada orang lain. Lihat sahaja sikap kita dengan kaum keluarga, apakah telah kita sempurnakan hak-hak mereka seadilnya? Terkadang, saya merasa kecewa. Di mata kawan-kawan, kita sering mengatakan kita telah membuat banyak jasa untuk keluarga tetapi hakikatnya, kita tidak boleh jika salah seorang daripada anggota keluarga mendapat yang terbaik daripada kita.
Lihat pula perbelanjaan kita dalam menyediakan juadah berbuka, terkekangkah nafsu selera daripada berbelanja? Dalam sebuah fakta yang pernah saya baca, hakikatnya umat Islam lebih banyak membazir di bulan puasa. Rabbanikah kita membiarkan lebihan makanan tersisa di dalam tong sampah begitu sahaja? Justeru, kitakah mereka yang layak meraikan hari raya?
Renung pula ketekunan kita dalam mengerjakan solat Tarawih, kita bersungguh ke masjid untuk berjemaah. Namun, meminggirkan solat fardu yang lebih besar imbalan pahalanya berbanding solat sunat Tarawih. Alangkah cantiknya jika solat fardhu dilakukan berjemaah sama seperti solat tarawih. Justeru layakkah kita yang berpuasa meraikan hari raya?
Hati saya lebih terguris menyaksikan situasi kaum hawa. Melihat pakaian yang membaluti tubuh mereka seakan saya melihat adik mahupun kaum keluarga sendiri. Mereka berpakaian, namun hakikatnya seperti bertelanjang. Baju yang dikenakan sekalipun berlengan panjang seperti pembalut nangka. Rakus mempamerkan susuk tubuh yang sepatutnya menjadi khazanah rahsia seorang bergelar suami.Lalu, imbauan sirah merasuk minda. Mungkinkah suatu hari nanti nasib kaum seperti kami dibela seperti mana seorang wanita di zaman sahabat. Seorang Yahudi menyelak kain seorang wanita Islam, dan kaum lelaki Islam bangkit mempertahankan maruahnya. Begitu juga, lupakah kita pada sejarah seorang 'Natrah'?
Hal ini senantiasa merunsingkan saya. Saya punya adik-beradik perempuan lima orang. Bagaimanakah mungkinsaya menjaga mereka seorang demi seorang? Lalu, setiap kali berhadapan dengan perkara sebegini membuatkan saya menadah sepotong doa selemah iman, 'Tuhan tunjuki mereka hidayah sebagaimana Engkau memahamkan aku hakikat kewajipan melindung aurat'. Hampir seminggu yang lalu saya mengembara di sawang seorang sahabat, entah bagaimana saya menemukan catatan ini. Setelah beroleh izin, saya lampirkan di sini untuk kita sama-sama teladani. Ia kekuatan saya untuk terus mengekalkan pemakaian purdah. Terima kasih pada yang memberi izin juga adik saya yang kini telah menutup wajah. "Dunia adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah" (Sabda Rasul)
Kisah seorang usahawanita berjaya -Pn Rozita Pengasas Sendayu Tinggi.
Rasanya sudah ramai yang tahu tentang kesusahan lampau saya kerana banyak majalah menyiarkan cerita itu. Niat saya tiada lain, hanya mahu menjadi pencetus semangat untuk wanita di luar sana. Biar mereka tahu, sebagai manusia jangan terlalu mengharapkan orang lain untuk berjaya dalam hidup.
Saya pernah jadi penoreh getah, sambil-sambil itu melakukan bermacam-macam kerja kampung untuk menampung hidup. Malah pernah juga cuba berniaga kedai runcit, menyertai MLM dan bekerja kilang.
Apabila berjaya dengan perniagaan Sendayu Tinggi, saya mula sedar manusia perlu ada tiga sifat jika mahu berjaya. Pertama, mereka mesti mengorak langkah untuk memulakan perkara kecil dalam diri. Kemudian, jangan pernah berkata tidak sebelum mencuba kerana tiada apa yang mustahil. Ketiga, jangan suka menyalahkan orang lain.
Nilai sepuluh sen
Bila sudah berjaya mengumpul kekayaan, tiap-tiap tahun saya pergi umrah. Ada banyak peristiwa yang dialami di tanah suci namun ada satu pengalaman yang paling menarik. Ia berlaku ketika saya tidur lalu bermimpi, satu suara menyuruh saya membaca beberapa ayat daripada surah Al-Baqarah.
Sekembalinya saya ke tanah air, saya terus mencari tafsir Al- Quran. Saya mendapati antara maksud ayat yang disuruh baca itu ialah mereka yang mendapat hidayah namun jika memalingkan mukanya, mungkin tiada lagi hidayah untuknya selepas itu.
Saya memang sudah lama terdetik mahu berganjak ke alam (fasa) lain sebaik sahaja usia mencecah 40 iaitu membuat persediaan untuk mati. Saya mula melihat betapa kehidupan di dunia ini sangat singkat, indah dan perlu dinikmati. Saya sedih mengenang ramai orang yang berjaya dalam perniagaan tetapi hidup tidak bahagia.
Ketika saya mengejar dunia, hidup dirasakan huru-hara. Pernah saya beli sebuah kereta dengan harga RM1 juta. Setiap kali tiba di satu-satu tempat, saya senang melihat banyak mata memandang dan berbisik-bisik kagum. Namun lama-kelamaan saya tersedar, rasa bangga melihat kekaguman orang itu menimbulkan perasaan riak dan mahu menunjuk-nunjuk.
Jika syiling sepuluh sen terjatuh, pernah satu ketika saya tidak mahu mengutipnya semula. Waktu itu saya memikirkan kelas sebagai seorang jutawan. Tetapi hari ini, saya tidak mahu lagi bersikap begitu. Saya mahu buang rasa riak, sebab nilai duit sepuluh sen itu besar nilainya pada sesetengah orang dan tidak patut dibazirkan begitu sahaja.
Saya tidak pandai mengaji dan tidak tinggi ilmu agama. Jadi saya mengupah seorang ustazah yang tinggal bersama di rumah ini untuk mengajar serta seorang ustaz untuk berkongsi ilmu agama. Sehari setiap minggu, rumah saya dibuka untuk orang ramai menyertai majlis ilmu yang dibuat di sini.
Impian saya yang masih belum tercapai ialah membina sebuah kompleks hasil perniagaan. Di kompleks berkenaan saya mahu membangunkan aktiviti dakwah di samping memberikan kehidupan kepada fakir miskin menerusi perkongsian ideologi perniagaan.
Saya tidak mahu golongan susah yang saya bantu ini memandang saya sebagai sumber kewangan. Saya tidak memberikan mereka ‘ikan’ tetapi ‘pancing’ untuk mengubah kehidupan. Caranya saya beri mereka produk untuk dipasarkan. Saya juga mengambil kuih, kerepek dan lain-lain daripada mereka untuk dijual.
Satu lagi impian yang sedang diusahakan, saya mahu bina sebuah rumah perlindungan untuk anak yatim piatu dan mualaf. Rumah sudah ada, tenaga pengajar pun tidak ada masalah. Cuma tinggal mencari bayi dan kanak-kanak untuk dibesarkan dengan pendidikan akademik berserta ilmu agama di rumah tersebut.
Kini mula berpurdah
Purdah ini sudah lima bulan saya pakai. Bukan sebab alim, dan bukan juga sebab H1N1. Sebaliknya inilah antara cara saya menjaga hati daripada dirasuk perasaan riak. Bila mengenakan purdah, tiada orang yang mengenali saya jadi tiada lagi layanan istimewa yang biasa saya dapat.
Saya tidak malu untuk mengaku, selama ini memang saya pakai tudung tetapi hati masih kotor. Ini kerana walaupun memakai tudung saya sering kalah bila syaitan berbisik supaya bersolek setiap kali ke luar rumah sesuai status selaku pengasas produk kecantikan.
“Kau kenalah pakai baju yang menampakkan kelangsingan, barulah orang tahu produk kau bagus” – itu juga antara bisikannya yang sering menewaskan saya. Barangkali ketika itu saya antara wanita akhir zaman yang disebut dalam hadis ‘menutup aurat tetapi masih bertelanjang’ .
Sebagai majikan pula, kadangkala saya memarahi pekerja kerana mahu semuanya serba sempurna. Saya menjadi sungguh takut apabila tersedar dan berfikir bagaimana pula saya di sisi majikan paling besar iaitu Allah Taala? Dia pun berhak marahkan saya kerana sungguhpun solat, di mana zikir dan amalan sunat bagi menyempurnakan lagi amalan kepadanya?
Syukurlah, perubahan yang dibuat melimpahkan bahagia dalam hidup. Anak-anak (Nurhayati, Alif Syukri, Aiman Hazim, Nurazizah dan Nurain Sufiyah) dan suami melengkapkan lagi dunia wanita ini.
Kini hari-hari saya lalui sambil meneguk kelazatan ilmu akhirat. Melayan keletah anak-anak, mengulit orkid, epal Madura, daun kesum, kedondong, kari, limau purut dan pokok herba lain; juga melayan burung, ayam, lampam, puyuh, puyu dan tilapia melengkapkan lagi kediaman bak syurga dunia yang saya gelar Sorga Ammi.
Sesudah solat Subuh, tatkala berdiri di balkoni rumah menyaksikan kabus berlalu dibawa angin sambil merenung kalam-kalam bukit , saya semakin yakin betapa perlunya saya bersyukur menjadi hamba yang dilimpahi kasih sayangNya.
Salam Ramadhan juga salam ziarah menyusul ukhwah buat semua yang sudi berkunjung ke teratak jemari saya. Berbanyak ampun dan maaf saya pohonkan kerana membiarkan sapaan kalian tidak bersahut. Terutama kepada bekas anak-anak didikan saya. Saya rindu mahu bermain kekunci di sini. Namun apakan daya, jaringan intetnet di rumah baharu pulih hari ini.
Mana mungkin saya lupa pada pengalaman yang telah mengajar saya erti sebagai seorang 'pendidik'. Ternyata, biarpun saya pernah mengajar di beberapa buah sekolah sebelum ini, ia amat berbeza dengan sekolah di ibu kota yang baharu saya tinggalkan. Berkali-kali saya menatap catatan yang berkesempatan saya rakam dengan lensa mata sebelum melangkah pergi dari sana. Ia azimat berharga yang akan saya pahatkan dalam jiwa.
JIWA GURU
Apabila kita seorang guru,
pastikan kita berjiwa guru,
berhati bersih dan suci,
tidak ada benci membenci,
hati dan minda sentiasa terbuka,
tiada dendam dan prasangka.
Bila kita berjiwa guru,
pastikan perkataan ini tidak diguna:
"Masa kerja telah habis"
"Itu bukan kerja saya"
"Ini bukan kerja murid"
"Saya tidak dapat apa-apa"
"Buat apa susah-susah"
"Cukuplah apa yang telah kita buat"
"Buat apa kerja rajin-rajin?"
Ingatlah!
Sekali kita bergelar guru,
perkataan kita jadi ingatan,
kelakuan kita jadi ikutan,
amalan kita jadi panduan.
Oleh itu,
jadilah cikgu/ ustazah yang berjiwa guru:
hati bersih sentiasa pemaaf,
rela bekerja bila-bila masa kerana sedar kerja itu ibadah kita,
guru yang mulia berhati mulia.
Semoga Allah memberkati semua ustazah /cikgu yang berjiwa guru.
Semoga semua cikgu berjiwa guru.
Buat anak-anak didik ustazah, terima kasih atas ingatan kalian pada ustazah. Belajarlah bersungguh-sungguh agar kalian bisa menghargai seseorang yang bernama guru.
KOTA METROPOLITAN “Ibu M kata kakak hitam.” Saya terselingar. Hari ini, selepas memandikan dia dan adiknya, saya membedakkan mukanya. Tiba-tiba bicara itu terlantun daripada bibir comelnya. Kanak-kanak berusia hampir empat tahun di hadapan direnung penuh rasa kasih dan sayang. Betapa tidak, bukankah Rasulullah s.a.w adalah qudwah terbaik yang amat menyayangi anak-anak. Malah baginda pernah menyebut: “Barang siapa yang tidak berkasih-sayang, dia tidak akan disayangi.” Mafhum hadis yang amat mudah difahami bagi yang sesiapa membaca mahupun mendengarnya ini tidak akan bisa disanggah kebenarannya. Penulisan utama entry saya pada kali ini bukanlah mahu menjadikan tittle ‘kasih-sayang’ sebagai entry utama, sebaliknya ia sekadar muqaddimah kepada jemari untuk terus bermain kekunci.
Musim libur sempena saifi dari kota Kaherah telah melontar saya ke tengah-tengah kota metropolitan berbanding musim libur sebelum-sebelum ini. Tentunya suasana baharu sedikit sebanyak memberi impak dalam rutin harian saya bagi meneruskan perjalanan hidup. Kuala Lumpur, kota metropolitan yang semakin pesat membangun. Saya cukup yakin, ia telah dikenali hampir seluruh Negara yang namanya tercatat di dalam peta dunia.
Persoalan yang sering bermain di benak saya melihat modennya kota metropolitan yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia ini, bukan pada kemajuan-kemajuan yang dicapai. Tidak juga pada ramainya insan-insan yang mempunyai kepakaran menjadikan Malaysia sebuah Negara yang dikenali di arena antarabangsa. Tetapi, pada sejauh mana maju serta modennya ia selari dengan pengakuan, “Malaysia sebuah Negara Islam.” Pun begitu, saya mengambil kata putus, bukan persoalan ini yang bakal saya publishkan untuk entry kali ini.
Saya kecilkan skop, cukup sekadar sebuah penulisan kecil yang diharapkan bisa difahami oleh siapa sahaja yang membacanya. Berbalik kepada bicara anak kecil yang berusia hampir empat tahun di hadapan saya tadi. Bicaranya pendek. Juga boleh ditafsirkan oleh sesiapa yang mendengarnya. Barangkali akan ada yang mentafsirkan bicara pendek tersebut sebagai satu luahan peribadi seorang kanak-kanak kecil yang belum mengerti apa-apa. Tidak kurang juga, akan ada yang mentafsir ia sebagai rasa tidak puas hati. Biar apapun tafsiran anda, bagi saya ia adalah satu pendapat peribadi yang jika dirungkaikan secara halus serta teliti dan penuh kasih-sayang akan menemukan satu titik hasil firman Allah swt dalam lembar mukjizat teragung yang berbunyi: “Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?”
KESEMPURNAAN ADALAH ANUGERAH “Kakak, hitam muka kakak Allah yang bagi bukan kakak minta. M, kalau selepas ni ada yang kata kakak hitam, kakak jawab macam tu ya.” Ibu M adalah pengasuh kepada anak kecil di hadapan saya. Dia dan adiknya akan saya dan Kak Long tinggalkan di rumah salah seorang jiran yang tinggal berdekatan rumah yang didiami Kak Long sekeluarga.
Jiwa pendidik yang mula menjalar di segenap jiwa menjadikan saya senantiasa bertanggungjawab menjadikan orang sekeliling saya sebagai mad’u yang harus memahami bahawa proses pentarbiahan tidak hanya wujud di sekolah-sekolah mahupun intitusi pengajian semata. ‘Manusia yang baik adalah manusia yang boleh memberi manfaat kepada orang lain’. Begitu prinsip yang saya tanamkan sebelum mula menyambut lamaran sebagai seorang pendidik. Meski dia hanya anak kecil, dia tetap bakal pewaris generasi Islam yang akan meneruskan perjuangan para nabi dan ulamak.
“Kerja yang paling senang adalah kerja sebagai seorang guru mahupun pendidik. Cuti pun lama, gaji tetap dapat.” Kalam ini yang sering diulang-ulang di telinga saya. Saya menghormati pandangan setiap orang. Apabila disebut sebagai pandangan,ia adalah hak peribadi setiap orang. Setiap orang bebas untuk menyuarakan pendapat. Namun bagi saya, kalam sebegitu adalah tafsiran bagi mereka yang melihat kerjaya seorang pendidik sebagai mata pencarian atau sumber pendapatan. Amanah sebagai seorang pendidik adalah satu tanggungjawab yang maha berat. Sementelah jika pendidik tersebut beragama Islam dan mengajar mata pelajaran agama kepada anak didiknya. Konsep agama sering diterjemah sebagai praktikal wajib (seperti solat, puasa, zakat, haji dan amalan wajib lain) oleh kebanyakan manusia. Itu realiti masyarakat kita hari ini. Dan itulah rutin harian yang saya lalui di kota metropolitan di sini.
Agama seharusnya dilihat dari seluruh aspek bukan tertumpu pada yang wajib sahaja. Contoh yang mudah, kalimah 'zikir'. Kalimah yang mengandungi lima huruf ini difahami masyarakat umum di negara kita dengan membayangkan seorang yang memegang tasbih meratib kalimah-kalimah arab tertentu berulangkali. Atau pabila bibir seseorang terkomat-kamit mengulang kalimah-kalimah arab tertentu berulang kali baharu dikatakan zikir. Masyarakat lebih menilai melalui mata zahir. Sedangkan hakikatnya, zikir itu semua perbuatan baik yang diniatkan kerana Allah swt adalah zikir. Ia adalah suatu kesilapan yang harus dibetulkan. Tanggungjawab membetulkan kesilapan dan kepincangan dalam masyarakat jika tidak terpikul di bahu pendidik, di bahu siapa harus dipundakkan?
Saya fahami rasa sedih anak kecil tadi kerana sering dikatakan memiliki wajah yang sedikit hitam berbanding adiknya. Bicara pendek tadi sebenarnya adalah seruan dakwah untuk proses tarbiah. Pentarbiahan ini seringkali disalahertikan oleh kebanyak ibu bapa. Mereka meletakkan anak-anak di bawah jagaan pendidik sepenuhnya untuk dididik. Inilah masalah terbesar yang saya lihat di kota yang semakin membangun ini. Anak kecil adalah aset berharga bagi sesebuah Negara. Tidak kira dia seorang Islam mahupun tidak. Ia bakal generasi penerus usaha insan-insan pakar kemajuan sesebuah Negara. Bahkan, apabila seorang anak kecil itu dilahirkan daripada rahim seorang ibu yang beragama Islam ia adalah seorang khalifah yang telah diamanahkan untuk memakmurkan bumi ini.
“Tidaklah lahir seorang bayi melainkan lahirnya dia itu di atas fitrah. Maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi..” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim dengan lafaz al-Bukhari). Berdasarkan hadis ini, ia jelas menunjukkan bahawa ibu bapa juga adalah seorang pendidik kepada anaknya. Malah jika diteliti secara telus, peranan ibu bapa amat besar jika mahu dibandingkan dengan tugas seorang guru mahu pun pendidik. Mereka tidak sahaja berperanan menjadikan anak itu mempercayai agama mereka adalah Islam, bahkan mereka amat berperanan menjadikan anak-anak yang dilahirkan seorang Islam yang tidak hanya Islam di atas sijil kelahiran mahu pun kad pengenalan. Oleh kerana itu Islam meletakkan syarat-syarat tertentu sebelum mendirikan sebuah baitul muslim. Rasulullah saw ada menyatakan bahawa seorang perempuan itu dikahwini kerana empat perkara; kerana harta, kecantikan, kerana keturunannya juga kerana agama. Baginda menyuruh seseorang itu mengutamakan keperluan agama yang dimiliki, berbanding dengan faktor-faktor lain.
Saranan ini bersebab. Dan setiap sunah Rasulullah itu mengandungi hikmah. Inilah hikmah daripada saranan baginda tersebut. Seorang wanita yang memiliki agama berperanan besar untuk memastikan zuriat yang dilahirkan dapat dibentuk selari dengan acuan Islam. Inilah yang mahu saya kongsikan bersama anda semua.
Dalam situasi seorang anak kecil yang masih belum memahami erti sebuah kehidupan, ia harus dibimbing oleh ibu bapanya. Inilah yang saya katakan tadi, hikmah daripada pemilihan calon isteri dan calon seorang ibu yang memiliki agama. Seorang ibu yang beragama harus tahu bagaimana caranya untuk memahamkan si anak bahawa wajah hitam tersebut adalah anugerah pemberian Allah swt. Ia bukan permintaan si anak. Ia tidak terhenti setakat itu. Bahkan, seorang ibu yang mengakui dirinya adalah seorang hamba Allah yang diamanahkan untuk memeihara zuriat yang dilahirkan mengikut acuan Islam akan menyedarkan bahawa betapa sempurna anugerah Tuhan pada wajah hitam yang diberikan. Menanamkan rasa syukur bahawa si anak lebih beruntung daripada insan lain yang tidak miliki wajah sempurna adalah nikmat terbesar kurniaan Allah.
KUFUR NIKMAT “Ala, apa salahnya. Dia pun nak cantik juga. Nanti tak cantik pula macam anak orang lain.” Persoalan ‘cantik’ akan sering dijadikan alasan apabila saya mula membuka mulut. Melihat wajah anak-anak orang Islam hari ini yang diconteng dengan pelbagai tona dan warna di muka, saya akan cepat berasa sayu. Anugerah memiliki seraut wajah yang sempurna adalah terlalu besar ertinya jika mahu dibandingkan dengan warna kulit putih dan hitam yang sering diperkatakan. Berapa ramai orang kurang sempurna atau cacat mahu memiliki wajah dan tubuh sempurna seperti anak-anak kita? Inilah kesilapan yang harus kita betulkan. Si anak harus dibimbing supaya menerima hakikat sedikit kekurangan diri dengan memberikan teladan bahawa setiap kejadian berlaku atas kehendak Tuhan dan rasa syukur harus wujud lantaran ada insan lain yang lebih banyak kekurangan berbanding si anak. Bukannya menggalakkan mereka kepada bertabarruj dengan pelbagai tona warna kosmetik yang diragui halal haram isi kandungannya. Sekaligus akan menjadikan si anak seorang yang kufur nikmat atas penciptaan Tuhan.
Sebelum terlambat, berusahalah untuk menyedarkan si anak bahawa tiada satu pun nikmat yang dikurniakan bisa kita dustakan. Nikmat pancaindera yang dipinjamkan, nikmat nafas yang masih berdenyut yang memberikan kita nyawa untuk terus menghirup rencamnya dunia, nikmat hidup terbaik seorang manusia yang bergelar muslim, hatta untuk mengangkat sebatang jari telunjuk pun adalah nikmat kurniaan Allah swt. “Maka nikmat Tuhanmu yang manakah engkau dustakan?”
SALAM buat semua sahabat yang berkunjung ke teratak saya. Buat seketika saya terpaksa berundur dari menulis di sini lantaran dihambat imtihan yang berkelangsungan dari 06 Mei 2009 - 09 Jun 2009. Insyaallah, akan kembali dikemas kini sebaik musim imtihan tamat. Maaf atas segala kesulitan yang timbul.